![Image from: [VIDEO] Pelumba MotoGP mengamuk, tunjuk jari tengah kepada marshal di Mandalika](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/motogp-mandalika-1024x780.jpeg)
PETALING JAYA– Pelumba MotoGP, Alex Rins mencuri perhatian apabila bertindak menunjukkan jari tengah selepas terlibat dalam pertengkaran dengan beberapa marshal ketika sesi latihan di Grand Prix (GP) Mandalika semalam.
Kejadian dipercayai berlaku ketika sesi berbaki kira-kira dua minit selepas pelumba berasal dari Sepanyol itu terjatuh di selekoh terakhir.
Insiden tersebut menyebabkan enjin motosikalnya terhenti dan Rins tidak dapat meneruskan sesi berikutan peraturan MotoGP 2026 yang tidak membenarkan motosikal dihidupkan semula dengan kaedah tolak mula di tepi trek selepas kemalangan.
Motosikal dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP itu perlu dibawa ke laluan servis sebelum tindakan lanjut boleh dilakukan.
Menerusi video yang tular, Rins dilihat dibonceng seorang marshal untuk kembali ke paddock sebelum perjalanan mereka dihalang dua marshal lain, sekali gus mencetuskan pertengkaran.
Marshal yang membonceng Rins turut dilihat mempertahankan pelumba berkenaan ketika berlaku perselisihan itu.
Berang apabila pergerakannya dihalang sedangkan sesi hampir tamat, Rins kemudian turun daripada motosikal marshal sebelum menunjukkan jari tengah.
Pelumba itu kemudiannya dilihat menumpang kenderaan seorang jurugambar untuk kembali ke paddock.
Rakaman insiden berkenaan mengundang perhatian peminat sukan permotoran yang mengikuti perkembangan GP Mandalika, dengan tindakan Rins menjadi antara perkara yang diperkatakan di media sosial. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Pelumba MotoGP mengamuk, tunjuk jari tengah kepada marshal di Mandalika appeared first on Kosmo Online.




