Lee Jun-ho ‘ketagih’ nasi lemak, roti tisu

26 Oct 2026 • 10:02 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lee Jun-ho ‘ketagih’ nasi lemak, roti tisu

KUALA LUMPUR – Kena dengan selera, bintang popular Korea Selatan, Lee Jun-ho mengakui terpikat dengan kepelbagaian sajian tempatan sepanjang berada di Malaysia, terutama nasi lemak dan roti tisu.

Ujar Junho, 36, dia teruja menikmati hidangan berkenaan, malah keunikan roti tisu dengan bentuknya menjulang tinggi memberikan pengalaman tersendiri buat pelakon dan penyanyi itu.

“Semalam, saya berpeluang mencuba nasi lemak dan roti tisu. Kedua-duanya sangat sedap. Saya tidak tahu mengapa roti tisu dinamakan sedemikian, tetapi perkara paling menarik perhatian saya ialah saiznya begitu besar dengan bentuk menjulang tinggi.

“Saya seronok mengoyakkan roti itu sedikit demi sedikit, bermula dari bahagian atas untuk menikmatinya. Pengalaman itu agak menarik kerana saya dapat mencubanya bersama pelbagai jenis sos dan perasa,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah anggota kumpulan 2PM itu, dia turut menikmati roti tisu bersama beberapa pilihan perasa, termasuk kari, coklat dan pistachio, selain kaymak, sejenis produk tenusu bertekstur berkrim.

“Saya memang suka pistachio, jadi saya mencuba roti itu dengan perisa tersebut.

“ Saya turut menikmatinya bersama kaymark dan semuanya sangat sedap,” ujarnya pada sesi meet and greet Lee Jun-ho, CuckooTOPIA, di sini, hari ini.

Bintang drama King The Land itu turut berkongsi keterujaan selepas membuat penampilan khas pada konsert CuckooTOPIA 2026 sempena ulang tahun ke-12 CUCKOO Malaysia di Stadium Merdeka, malam tadi.

Mengakui pengalaman tersebut cukup bermakna, Junho berkata, itu merupakan kali pertama dia menghadiri konsert sedemikian, sekali gus memberikan peluang untuk bertemu peminat secara langsung dalam suasana penuh kemeriahan.

“Sebenarnya, ini kali pertama saya menghadiri konsert CuckooTOPIA, jadi pengalaman itu sangat menggembirakan buat saya. Sudah tentu, saya juga sangat gembira kerana berpeluang bertemu semua peminat pada konsert tersebut.

“Jika diberikan peluang menghadiri konsert seperti ini lagi pada masa hadapan, saya pasti berbesar hati,” jelasnya.

Untuk rekod, pelantun lagu Nothing But You itu berada di Malaysia bagi memeriahkan festival CuckooTOPIA 2026.

Kehadirannya turut merangkumi acara CuckooTOPIA Pop-Up di Pavilion Bukit Jalil, berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober.

Terdahulu, Junho dilantik sebagai Duta Jenama Global CUCKOO pada awal tahun ini, sekali gus mengukuhkan hubungannya dengan jenama berkenaan di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE.

The post Lee Jun-ho ‘ketagih’ nasi lemak, roti tisu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved