![Image from: [VIDEO] Penduduk Bali beratur lebih dua jam isi minyak kenderaan](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/isi-minyak-1024x768.jpg)
DENPASAR – Pulau percutian terkenal Indonesia, Bali, kini berdepan dengan masalah gangguan bekalan bahan api yang serius sehingga memaksa orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan bekalan petrol.
Situasi panik ini sehingga menyebabkan kenderaan beratur panjang mencecah lebih satu kilometer di sebahagian besar stesen minyak yang masih beroperasi.
Laporan media setempat kawasan tumpuan pelancong seperti Ubud, Uluwatu, Kuta, Denpasar, Badung, Tabanan, dan Jembrana merupakan antara kawasan yang paling terjejas teruk.
Gangguan ini melibatkan kedua-dua jenis petrol, iaitu petrol bersubsidi (Pertalite) serta gred premium (Pertamax).
Menurut laporan portal Detik Bali, barisan kenderaan terutamanya motosikal beratur sehingga bahu jalan raya utama, sekali gus memburukkan lagi keadaan trafik di pulau berkenaan.
Malah, dilaporkan sebanyak 14 buah stesen minyak di daerah Jembrana kehabisan stok sepenuhnya, memaksa sesetengah penduduk menolak motosikal mereka yang kehabisan minyak.
Seorang penduduk menceritakan bahawa isterinya terpaksa keluar seawal pukul 4.30 pagi dan menunggu selama dua jam setengah semata-mata untuk mengisi minyak.
Sementara itu, komuniti ekspatriat dan pelancong asing turut meluahkan rasa terkejut selepas stesen minyak jalanan (Pertamini) dan stesen minyak utama di sekitar kawasan pelancongan kehabisan bekalan petrol.
“Isu sebenar adalah kadar penghantaran lori tangki ke stesen minyak tidak dapat mengejar lonjakan permintaan yang mendadak akibat orang ramai yang menyerbu stesen minyak secara serentak,” jelas beliau.
Pihak berkuasa tempatan menjelaskan masalah ini berpunca daripada gangguan teknikal yang melibatkan lencongan bekalan di antara Depot Pesanggaran dan Terminal Transit Manggis
Syarikat minyak milik republik Indonesia, Pertamina, kini sedang mempercepatkan proses pengagihan bekalan tambahan ke seluruh daerah yang terjejas bagi menstabilkan keadaan.
Bagi mengurangkan kesesakan, Pertamina turut melanjutkan waktu operasi di berpuluh-puluh stesen minyak utama di seluruh Bali.
Walaupun pihak berkuasa memberi jaminan bahawa keadaan mula pulih secara berperingkat. – Agensi
The post [VIDEO] Penduduk Bali beratur lebih dua jam isi minyak kenderaan appeared first on Kosmo Online.




