![Image from: [VIDEO] Polis Johor sahkan laporan Kosmo!, dendam cinta ditolak punca Irene dibunuh](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/irene-1024x645.jpeg)
JOHOR BAHRU – Polis Johor mengesahkan motif pembunuhan pelajar perempuan, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini pada 3 Oktober lalu dipercayai berpunca daripada perasaan dendam suspek selepas cintanya ditolak mangsa.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bagaimanapun motif berkenaan masih diperhalusi menerusi siasatan yang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mengalami kecederaan di sebuah dewan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng, Batu Pahat.
“Susulan kejadian itu, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari sekolah yang sama ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan tersebut.
“Polis menjalankan siasatan lanjut bermula 4 hingga 8 Oktober lalu, termasuk merakam percakapan dan melakukan pemeriksaan terhadap suspek sebelum beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian dirampas,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor, di sini, hari ini.
Antara barangan yang dirampas ialah sebuah telefon bimbit iPhone, sehelai baju jersi jenama Mizuno, seluar panjang hitam, sepasang selipar Adidas dan sebuah set dekoder jenama Dahua Technology.
Katanya, polis turut merampas sebatang besi sepanjang kira-kira 96 sentimeter yang dibalut dengan kain tali leher dan dipercayai digunakan sebagai senjata untuk memukul mangsa.
Selain itu, barangan lain yang dirampas termasuk pakaian sukan dengan kesan darah, beg kanvas berwarna krim berisi alat tulis, beg berisi buku Matematik Tambahan serta slip peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tertera nama mangsa.
“Turut dirampas ialah sepasang cermin mata, sepasang anak kunci berlambang Yamaha, sebotol minuman berwarna merah jambu, tiga helai kertas catatan kehadiran pelajar dan sebuah kalkulator Casio berwarna merah jambu,”ujarnya.
Menurutnya, siasatan kini hampir lengkap dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung tindakan seterusnya.
Dalam kejadian 3 Oktober lalu, Irene Sofiya, pelajar Tingkatan Empat di SMK Dato’ Seth, ditemukan tidak sedarkan diri dengan kecederaan di dewan sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.-KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Polis Johor sahkan laporan Kosmo!, dendam cinta ditolak punca Irene dibunuh appeared first on Kosmo Online.






