
GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas dilaporkan parah pada tangan dan kaki selepas dipercayai dipukul jirannya dengan menggunakan sebatang besi di hadapan rumah di Jalan Perak, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian pergaduhan jiran pada pukul 9.55 pagi tadi.
Menurutnya, kes yang berlaku turut tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat umum.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa lelaki warga tempatan berumur 80 tahun telah dipukul oleh jirannya seorang lelaki warga tempatan berumur 62 tahun dengan menggunakan sebatang besi di hadapan rumah, kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
“Akibat daripada pukulan itu, mangsa mengalami cedera parah pada bahagian tangan dan kaki serta masih sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Punca kejadian disyaki disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan suspek,” katanya di sini,.hari ini.
Beliau memberitahu, pihak polis berjaya menangkap suspek dengan rampasan senjata batang besi yang digunakan dalam kejadian itu.
Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata dan suspek akan direman pagi esok. -KOSMO! ONLINE
The post Warga emas parah dipukul jiran dengan besi appeared first on Kosmo Digital.






