Video Pukul Anak Kucing Dengan Penyapu Tular, Lelaki Ditahan Aniaya Haiwan

20 Aug 2026 • 4:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Video Pukul Anak Kucing Dengan Penyapu Tular, Lelaki Ditahan Aniaya Haiwan

BATU GAJAH - Polis menahan seorang lelaki selepas dia menyerah diri susulan penularan video yang memaparkan perbuatannya memukul seekor anak kucing berulang kali menggunakan penyapu aluminium di sebuah kawasan perumahan di Bandar Tasik Idaman, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, lelaki berkenaan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk menyerah diri selepas pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira tengah hari semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengakui memukul anak kucing berkenaan menggunakan penyapu aluminium.

“Suspek mendakwa dia bertindak demikian selepas anak kucing itu masuk ke dalam ruang enjin di bawah bonet kenderaan miliknya yang diletakkan di kediamannya.

“Suspek berbuat demikian kerana bimbang anak kucing itu mengalami kecederaan serta boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan sekiranya enjin dihidupkan atau kenderaan dipandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kucing berkenaan dilaporkan terselamat daripada kejadian itu dan kemudian dibawa seorang jiran ke klinik veterinar untuk mendapatkan rawatan.

Md Noor Aehawan berkata, pihak polis akan mendapatkan laporan veterinar bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, berkaitan perbuatan kejam terhadap haiwan.

Video kejadian itu mencetuskan kecaman meluas di media sosial, dengan orang ramai menggesa tindakan diambil terhadap suspek.

Malah, terdapat juga netizen yang meminta majikan suspek mengambil tindakan selepas video berkenaan dipercayai menunjukkan lelaki itu memakai pakaian kerja ketika kejadian berlaku. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved