
BATU GAJAH: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menganiaya seekor anak kucing dengan memukul haiwan itu menggunakan penyapu aluminium di kawasan perumahan di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, lelaki terbabit ditahan selepas tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah bagi membantu siasatan.
Katanya, tangkapan itu dibuat susulan penularan video berdurasi dua minit 19 saat yang memaparkan suspek memukul anak kucing berkenaan beberapa kali menggunakan penyapu aluminium di kawasan parkir rumahnya.
“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.04 tengah hari semalam, selepas kejadian tersebut dirakam jiran suspek yang juga saksi.
“Hasil semakan rakaman mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan penyapu jenis aluminium,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek mengaku memukul anak kucing berkenaan kerana mendakwa haiwan itu masuk ke bahagian enjin kenderaannya yang diletakkan di dalam kawasan rumah.
Katanya, suspek dikatakan bertindak demikian kerana bimbang keadaan itu boleh membahayakan kucing tersebut selain menyebabkan kerosakan pada kenderaannya sekiranya enjin dihidupkan atau kenderaan dijalankan.
“Hasil siasatan mendapati anak kucing berkenaan masih hidup dan telah diambil oleh jiran yang merakam kejadian itu untuk dibawa mendapatkan rawatan di klinik veterinar hari ini.
“Laporan veterinar akan diperoleh bagi melengkapkan siasatan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015,” katanya. – UTUSAN
The post Lelaki ditahan pukul anak kucing dengan penyapu appeared first on Utusan Malaysia.






