[VIDEO] 'Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China' - Menteri Agama

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 1:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: [VIDEO] 'Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China' - Menteri Agama
Image from: [VIDEO] 'Tiada aset TH dijual kepada golongan bukan Islam atau China' - Menteri Agama
Zulkifli

KUALA LUMPUR - Kerajaan menafikan dakwaan aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) dijual kepada golongan bukan Islam atau pihak berkepentingan dari China kononnya sebagai sebahagian proses penstrukturan semula institusi tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, aset yang dipindahkan di bawah pelan pemulihan 2018 itu dijual kepada syarikat tujuan khas dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

"Tiada aset dijual kepada golongan bukan Islam atau China sepertimana didakwa pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu Sidang Khas Dewan Rakyat berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH di Dewan Rakyat pada Selasa.

Zulkifli menjelaskan, TH memindahkan aset berprestasi rendah dan bermasalah bernilai RM9.7 bilion kepada UJSB pada nilai RM19.9 bilion.

Katanya, ia sebagai sebahagian daripada pelan untuk menutup jurang aset dan liabiliti institusi yang ketika itu berjumlah sekitar RM10 bilion.

Tambah beliau, urus niaga tersebut membabitkan 100 saham syarikat tersenarai, 29 hartanah dan sebuah syarikat perladangan kelapa sawit.

"UJSB membiayai pengambilalihan menerusi sukuk yang dilanggan sepenuhnya oleh TH. Sebagai sebahagian daripada aturan itu, TH turut diberikan Hak Keutamaan Membeli (ROFR) iaitu keutamaan untuk membeli semula aset berkenaan jika UJSB memutuskan menjualnya pada masa hadapan.

"Ini bermakna aset berkenaan boleh kembali kepada TH sekiranya institusi mahu mengambilnya semula," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya, ROFR tidak mewajibkan TH membeli semula aset berkenaan.

"Sebarang pembelian semula tertakluk kepada penilaian komersial dan kesesuaian aset berkenaan berdasarkan kriteria pelaburan TH," jelasnya.

Zulkifli turut memaklumkan, pemindahan aset dilaksanakan bagi menyelamat dan memulihkan kedudukan kewangan TH susulan krisis kewangan dihadapi institusi berkenaan.

"Pelan ini bukan diwujudkan kerana kerajaan mahu mengambil aset TH," katanya.

Zulkifli berkata, TH kemudian menggunakan pengaturan itu untuk memperoleh semula sebahagian aset selepas kedudukan kewangannya bertambah baik.

Antaranya sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) yang dijual pada harga RM400 juta (2018) kemudian dibeli semula oleh TH pada RM270 juta berdasarkan nilai pasaran semasa.

Jelas beliau, TH turut memperoleh semula aset perladangan kelapa sawit milik UJ Estates Holdings Sdn Bhd untuk RM695 juta berdasarkan nilai pasaran termasuk RM115 juta dalam bentuk tunai, berbanding sebelum ini yang dijual RM800 juta.

Zulkifli memberitahu, urus niaga itu menunjukkan aset dipindahkan di bawah proses penstrukturan semula masih boleh dinilai semula dan diperoleh kembali jika ia berdaya maju dari sudut komersial serta memberi manfaat terbaik buat pendeposit TH.

Beliau menegaskan sebarang keputusan membabitkan aset TH mesti berpandukan kepentingan pendeposit, bukannya pertimbangan politik.

"TH bukan milik kerajaan hari ini, kerajaan semalam atau mana-mana parti politik. Ia amanah milik umat Islam Malaysia," menurutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved