MELAKA - Tiga rakan didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Isnin atas pertuduhan mencuri susu tepung kanak-kanak serta 18 barangan lain di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh, Hamzah Duraman, 37; Muhammad Heirwan Firdaus Huhsaini, 35, dan Muhammad Zulkarnaen Zahari, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mencuri barangan kepunyaan AEON Ayer Keroh di pasar raya berkenaan kira-kira jam 5.50 petang, 3 September lalu.
Antara barangan yang didakwa dicuri termasuk 10 paket Dutch Lady Gum, Cadbury 3 in 1, Scot Protect, Nescafe, Oreo, Milo Krunch, Hershey's Kisses, Be-Kind Caramel, Nestle Fitness, Dill Milk, Kit Kat, Nestum, Wonda Coffee serta beberapa bekas makanan.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya yang mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan Muhammad Heirwan perlu menanggung isteri dan tiga anak selain memperoleh pendapatan harian RM50 sebagai buruh.
Katanya, Hamzah juga bekerja sebagai buruh, manakala Muhammad Zulkarnaen merupakan penjual burger dengan pendapatan RM80 sehari.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dan menetapkan 13 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding berasingan, Muhammad Heirwan dan Muhammad Zulkarnaen turut didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.
Selain itu, Muhammad Zulkarnaen turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat bersih 1.48 gram, pada 3 September lalu.
Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Muhammad Heirwan dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda serta pengawasan polis selama dua tahun.
Sementara itu, Muhammad Zulkarnaen dijatuhi hukuman penjara lapan bulan bermula dari tarikh ditangkap pada 3 September lalu.





