
PETALING JAYA – Permintaan seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Iskandar, Bera Pahang supaya sebuah titi dibaiki mendapat perhatian apabila kos sebanyak RM150,000 dilaporkan telah diluluskan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, selepas guru berkenaan memohon bantuan bagi menaik taraf laluan berkenaan yang digunakan anak muridnya setiap pagi untuk ke sekolah.
“Salam Datuk Seri, ni laluan anak murid saya tiap-tiap pagi nak pergi sekolah. Boleh Datuk Seri belanja kayu tak? Saya nak murnikan laluan titi ni,” tulis guru berkenaan yang menggunakan profil @le_akmal di media sosial, semalam.
Menjawab permintaan itu, Fadhlina berkata, beliau sudah membuat semakan dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang berhubung perkara tersebut.
“Saya telah membuat semakan dengan pihak JPN Pahang. Berdasarkan semakan tersebut, kos bagi laluan ini adalah sebanyak RM150,000 untuk modul ‘jetfloat’ (jambatan terapung).
“Lulus, ya cikgu. Saya telah meminta pihak JPN untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
Guru berkenaan sekali gus meluahkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Fadhlina atas perhatian yang diberikan.
“Terima kasih Datuk Seri. Semoga Tuhan permudahkan urusan Datuk Seri,” ucapnya.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menzahirkan harapan agar usaha berkenaan dapat memudahkan urusan guru serta memberi manfaat dan keselesaan kepada murid yang menggunakan laluan tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post Lulus, ya cikgu – Fadhlina appeared first on Kosmo Digital.






