PASIR GUDANG - Polis menafikan dakwaan dalam video tular yang menunjukkan seorang penunggang motosikal dikatakan terjatuh akibat disepak anggota polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan G Victor berkata video tersebut yang dimuat naik oleh akaun Facebook “Ngah Pizi” meraih lebih 1.1 juta tontonan dan 448 perkongsian.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati kejadian berlaku semasa Operasi Selamat 26 dijalankan di Taman Kota Masai, di sini, kira-kira jam 1.30 pagi pada Sabtu.
"Setibanya di lokasi, pihak polis mendapati sekumpulan penunggang motosikal sedang berkumpul dan membuat bising. Apabila menyedari kehadiran polis, semua penunggang bertindak melarikan diri ke pelbagai arah.
"Salah sebuah motosikal telah ditunggang secara melulu ke arah seorang anggota polis dalam cubaan untuk melarikan diri.
"Walaupun telah diarahkan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, penunggang motosikal tersebut cuba mengelak daripada ditahan dan telah terbabas selepas melanggar batu di bahu jalan sebelah kiri, lalu terjatuh," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tegas beliau, pihak polis mengesahkan tiada sebarang tindakan anggota polis yang menyepak atau menyebabkan penunggang tersebut terjatuh seperti yang didakwa dalam video tular berkenaan.
"Insiden tersebut berpunca daripada tindakan penunggang sendiri dan tiada sebarang kecederaan. Penunggang tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, orang ramai diingatkan tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Sebelum itu, tular video berdurasi 24 saat tular di media sosial memaparkan sebuah motosikal terjatuh semasa penunggangnya cuba melarikan diri dari pemeriksaan polis.
Video tersebut dimuat naik oleh akaun “Ngah Pizi” dengan keterangan "Punca 42 last last pukat kawan lepas Dia kena sepak jatuh siak”



