![Image from: [VIDEO] Viva berpusing atas lebuh raya, tiba-tiba datang ‘towing’ dari belakang](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-20-at-3.40.44-PM-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Detik cemas sebuah Perodua Viva berwarna putih berpusing sebelum melanggar sebuah kenderaan lain di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak mencuri perhatian pengguna media sosial hari ini.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang berada di lokasi sebelum rakaman berkenaan dikongsikan pengguna Threads, @miku.who.
Berdasarkan rakaman, Perodua Viva berkenaan yang datang dari arah belakang dilihat tiba-tiba hilang kawalan sebelum berpusing merentasi beberapa lorong.
Kereta itu kemudiannya terbabas sehingga ke lorong kiri sebelum berpusing semula dan melanggar sebuah kenderaan yang berada di bahagian lorong kanan lebuh raya tersebut.
“Nah rakaman Lebuh Raya KL-Karak untuk sesiapa terlibat yang memerlukan, semoga urusan dipermudahkan,” tulis pemilik hantaran.
Bagaimanapun, selain kejadian tersebut, perhatian pengguna media sosial turut tertumpu kepada kehadiran sebuah kenderaan tunda yang dilihat berada tidak jauh dari lokasi.
“Ada towing (kenderaan tunda) belakang. Suratan atau kebetulan?,” komen @fototerastudio.
Sementara itu, @n.isfornoname turut mempersoalkan sama ada kejadian berpunca daripada keadaan jalan atau objek tajam.
“Jalan licin? Atau paku? Kebetulan pula ada kereta tunda,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @frhnssa_ mendakwa pernah berdepan pengalaman mencurigakan di Lebuh Raya KL-Karak selepas kenderaan keluarganya terlanggar sebiji tayar yang berada di tengah jalan.
Menurutnya, selepas mereka berhenti berhampiran sebuah stesen minyak kerana tangki cecair penyejuk kenderaan pecah, seorang lelaki datang menawarkan perkhidmatan tunda.
Apa yang menimbulkan persoalan, lelaki terbabit didakwa bertanya sama ada kenderaan mereka merupakan kereta yang terlanggar tayar sebelum itu.
“Kami semua pelik macam mana dia tahu kami langgar tayar. Kemudian kami cakap kami ada towing sendiri, dia macam tidak puas hati dan terus berlalu begitu sahaja,” dakwanya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Viva berpusing atas lebuh raya, tiba-tiba datang ‘towing’ dari belakang appeared first on Kosmo Online.


![[VIDEO] Dua kereta terkandas, jalan ke Sentul dinaiki air](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-20-at-6.14.00-PM-1024x682.jpeg)
![[VIDEO] Sudah kena hon masih tunjuk lagak ‘Superman’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-20-at-5.24.23-PM-1024x673.jpeg)


