
Aksi sengit mewarnai perlumbaan 12 Hours of Spa Francorchamps apabila pasukan Viper Niza Racing mempamerkan kebangkitan mengagumkan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 kelas GT3-AM dan ke-7 keseluruhan. Bermula dari kedudukan ke-15 keseluruhan dan ke-9 dalam kelas, Dominic Ang yang membuka saingan pantas membawa pasukan naik ke kelompok lima teratas kelas seawal jam pertama.
Sepanjang Race 1, Viper Niza mengekalkan konsistensi untuk menamatkan saingan di tempat ke-8 keseluruhan sebelum meningkatkan rentak dalam Race 2, termasuk mendaki sehingga ke kedudukan ke-6 keseluruhan pada pertengahan perlumbaan.
Walaupun berdepan persaingan sengit daripada jentera McLaren, Audi dan Porsche, trio Douglas Khoo, Dominic Ang dan Aaron Lim terus memberikan tekanan sehingga ke penghujung perlumbaan.
Namun, faktor strategi dan sedikit nasib tidak menyebelahi mereka apabila situasi Code 60 di saat kritikal membuka ruang kepada pencabar untuk mengisi minyak, sekali gus menjejaskan peluang podium Viper Niza.
Selepas melengkapkan 239 pusingan dengan catatan masa terpantas 2:17.985 saat, pasukan Malaysia itu sekadar dipisahkan dua pusingan daripada kedudukan podium.
Keputusan ini tetap membawa makna besar apabila mereka kini berkongsi kedudukan teratas keseluruhan carta Michelin 24H European Series GT3-AM, membuktikan konsistensi dan daya saing tinggi dalam kempen musim ini.








The post Viper Niza Racing Bangkit Dari Belakang, Hampir Podium di Michelin 12H Spa-Francorchamps appeared first on TW Media.
