
Pasukan Viper Niza Racing Team kembali menggalas cabaran di pentas antarabangsa apabila menyasarkan pencapaian podium ketiga berturut-turut di Litar Spa Francorchamps, Belgium sempena pusingan kedua Michelin 24H Series yang berlangsung pada 17 hingga 19 April ini.
Pasukan dari Malaysia itu sebelum ini mencatat rekod cemerlang setiap kali beraksi di litar ikonik sepanjang 7.004km tersebut. Pada edisi tahun lalu, trio Douglas Khoo, Dominic Ang dan Melvin Moh berjaya memacu jentera Mercedes-AMG GT3 EVO #65 ke tempat kedua dalam kelas GT3 AM, keempat dalam GT3 serta keenam keseluruhan daripada 37 penyertaan antarabangsa.
Lebih manis, penampilan sulung mereka di Spa pada tahun 2019 turut membuahkan kemenangan dalam kelas PRO/AM menerusi perlumbaan TCR SPA500.
Memasuki musim 2026, Viper Niza memulakan kempen dengan keputusan positif di Mugello, Itali apabila menamatkan perlumbaan 12 jam di tempat keempat kelas GT3-AM, kelapan GT3 dan ke-10 keseluruhan selepas melengkapkan 344 pusingan.
Spa Francorchamps terkenal sebagai antara litar paling mencabar di dunia dengan kombinasi kelajuan tinggi, 19 selekoh teknikal serta faktor cuaca yang sukar diramal merupakan elemen yang sering menjadi penentu strategi perlumbaan endurance.
Menurut Prinsipal Pasukan merangkap pemandu utama, Douglas Khoo, pendekatan berhati-hati tetap menjadi keutamaan walaupun rekod lalu memihak kepada mereka.
“Kami tidak mengambil mudah cabaran di Spa. Sasaran kami adalah podium, tetapi fokus utama adalah memastikan perlumbaan diharungi dengan strategi tepat dan konsisten. Dalam perlumbaan endurance, untuk menang, anda perlu menamatkan perlumbaan terlebih dahulu,” jelasnya.
Perlumbaan kali ini dijangka sengit dengan 44 kereta bakal mengambil tempat di grid, termasuk dominasi jentera Mercedes-AMG GT3 EVO dalam kelas GT3. Antara pencabar utama ialah HOFOR Racing selaku juara bertahan serta Continental Racing yang memacu Audi R8.
Viper Niza Racing Team terus mendapat sokongan padu daripada rakan penaja seperti Motul, IWC, Momentum Autoparts dan SPARCO Italy dalam usaha memburu kejayaan di bumi Eropah.
The post Viper Niza Racing Sasar Podium Hat-Trick di Spa Francorchamps appeared first on TW Media.

