amree20/08/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – VisDynamics Holdings Berhad dilihat mampu memperoleh manfaat daripada kitaran peningkatan perbelanjaan modal (capex) sektor semikonduktor global, menurut RHB Research.
Katanya, kumpulan itu merupakan pemain yang ketinggalan dalam sektor peralatan cip Malaysia tetapi mempunyai ruang pertumbuhan menerusi peningkatan permintaan daripada kecerdasan buatan (AI).
Kedudukan syarikat itu dalam segmen peralatan pengendalian dan pemeriksaan cip juga kukuh dipacu penggunaan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), kenderaan elektrik (EV) dan automasi industri.
"Bagaimanapun VisDynamics masih berdepan risiko turun naik mata wang, kelewatan penghantaran produk, gangguan rantaian bekalan serta kelembapan industri AI dan automotif," jelas RHB Research.
Justeru, firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap prospek syarikat berikutan perkembangan kapasiti pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT), selain ada jaminan rantaian bekalan global.
Ujarnya lagi, jualan peralatan ujian serta pemasangan dan pembungkusan cip di peringkat belakang dijangka berkembang kukuh pada 2026, yang memberi peluang dalam proses pemeriksaan akhir produk.

Pangkalan pelanggan VisDynamics kata RHB Research, semakin berkembang merangkumi syarikat OSAT tempatan serta China, pengeluar peranti bersepadu (IDM) multinasional dan pengeluar semikonduktor.
"Cip berasaskan silikon karbida (SiC) dan galium nitrida (GaN) memerlukan tahap pengendalian lebih tinggi berbanding cip konvensional, yang meletakkan kumpulan ini pada kedudukan baik," jelasnya.
Dari sudut petunjuk pendapatan, inventori VisDynamics meningkat ke paras tertinggi tiga tahun sebanyak RM22.4 juta, manakala liabiliti kontrak naik kepada RM10.4 juta pada akhir suku kedua FY26.
RHB Research berkata peningkatan itu mencerminkan tindak balas terhadap pertambahan pertanyaan pelanggan VisDynamics, khususnya syarikat OSAT yang sedang mengembangkan kapasiti di Malaysia.
Pada masa sama, ketegangan geopolitik dan kawalan teknologi mendorong kepelbagaian rantaian stok serta penyetempatan industri semikonduktor, yang memberi pendedahan langsung kepada pelaburan.
"Sehubungan itu, kami menetapkan nilai saksama 77 sen sesaham dan antara pilihan berharga menarik dalam sektor peralatan semikonduktor Malaysia," tambah firma berkenaan. - DagangNews.com



