amree20/08/2026 - 18:10 Foto kredit daripada Facebook Global Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – Dagang NeXchange Berhad (DNeX) berhasrat menjual kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Excalibur pada harga AS$35 juta (RM142.19 juta), langkah strategik yang dijangka menjana keuntungan pelupusan pro forma sebanyak AS$5.86 juta (RM23.81 juta).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata cadangan tersebut membabitkan anak syarikat milik 90% kumpulan, Ping Petroleum Ltd, menerusi Ping Petroleum UK PLC (PPUK), yang memeterai memorandum persetujuan (MOA) dengan MISC Berhad bagi penjualan FPSO berkenaan.
Menurut DNeX, harga jualan itu dipersetujui berdasarkan prinsip persetujuan bersama, dengan diambil kira nilai buku bersih (NBV) Excalibur sebanyak AS$13.25 juta (RM53.83 juta), selepas menilai cukai keuntungan modal serta pemulihan elaun modal yang pernah dituntut sebelum ini.
"Harga jualan tersebut juga berada dalam julat nilai saksama AS$22.5 juta hingga AS$43.5 juta yang dinilai ABS Consulting menerusi kaedah penilaian kos penggantian dan perbandingan pasaran," katanya.
Excalibur yang dibina pada 2007 merupakan FPSO berbentuk silinder dengan kapasiti reka bentuk penyimpanan sebanyak 300,000 tong, berdaftar di Nassau, Bahamas. Kapal berkenaan dimiliki secara berdaftar oleh PPUK.
DNeX berkata daripada keseluruhan hasil pelupusan AS$35 juta, selepas penyelesaian obligasi cukai berkaitan transaksi, kumpulan dijangka menerima hasil tunai bersih sekitar AS$14.11 juta, yang akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan modal kerja kumpulan.

Cadangan pelupusan itu dilihat sebagai langkah proaktif untuk mengoptimumkan peruntukan modal kumpulan susulan perubahan landskap fiskal, kawal selia dan pembangunan sektor tenaga luar pesisir di Britain.
Menurut kumpulan, dasar negara itu yang semakin menggalakkan pembangunan baharu disambungkan kepada infrastruktur sedia ada lebih besar telah mengurangkan daya tarikan komersial penggunaan asal Excalibur, sekali gus mendorong keputusan untuk melupuskan aset berkenaan bagi mengelakkan kos serta potensi penyusutan nilai yang berpanjangan.
Bagi struktur pembayaran, AS$2.5 juta telah dibayar sebagai yuran tempahan ketika surat eksklusif ditandatangani pada April 2026, manakala deposit AS$3.5 juta akan dibayar dalam tempoh tiga hari selepas MOA ditandatangani dan baki AS$29 juta dalam tempoh tiga hari selepas penyerahan Excalibur.
DNeX berkata transaksi itu tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham, penggearan atau pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
"Cadangan berkenaan juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa berdasarkan nisbah peratusan tertinggi sebanyak 10.6%," tambah kumpulan berkenaan.
Bagaimanapun, DNeX mengakui transaksi berkenaan masih terdedah kepada risiko kelewatan atau kegagalan penyelesaian serta turun naik mata wang memandangkan pertimbangan dibayar dalam dolar AS.
Dengan syarat-syarat MOA dipenuhi dan tiada keadaan luar jangka, pelupusan Excalibur dijangka selesai pada suku keempat tahun kewangan 2026. - DagangNews.com






