
Vivo masih belum mengumumkan tarikh pelancaran, namun mula mendedahkan beberapa butiran penting mengenai telefon boleh lipat terbaharunya X Fold6. Model ini disasarkan sebagai telefon lipat mercu dengan perkakasan berkuasa dan pengalaman kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkatkan bagi memastikan penggunaan harian lebih efisien.

Peranti ini akan dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 9500 Ultra manakala skrin dalaman 8.02 inci dengan panel Samsung M14 generasi baharu yang menawarkan kecerahan puncak 5000 nit. Skrin ini turut menyokong teknologi paparan yang jelas di bawah cahaya matahari serta selesa digunakan pada waktu malam. Selain itu, ia hadir dengan fungsi Atom Workstation baharu yang membolehkan beberapa aplikasi berjalan serentak pada satu skrin sekali gus memberikan pengalaman AI yang lebih lancar.


Pada masa sama, X Fold6 hadir dengan tiga kelebihan lain. Dari segi rekaan, ia akan menggunakan warna biru yang diilhamkan daripada laut dalam, bucu lebih bulat, bingkai logam 2.5D serta kesan cahaya bayangan yang menarik dalam kelasnya. Sementara itu, sistem kameranya akan digelar V-SLR kerana dilengkapi sensor besar 200MP, lensa telefoto Zeiss APO, cip pengimejan V3+, sokongan teleconverter ZEISS G2 serta mod warna terbina untuk menghasilkan rakaman yang lebih profesional.
Sumber – GSMArena



