Vivo Pad6 Pro Dilancarkan Dengan Skrin 4K 144Hz Dan Memori 16GB RAM

TechnologyDigital
31 Mar 2026 • 1:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Vivo kembali ke pasaran tablet berkuasa dengan pelancaran Pad6 Pro. Ia menggunakan cip pemproses Snapdragon 8 Elite Gen 5 sekali gus menjadikannya lebih berkuasa berbanding model pesaing terkini seperti Honor MagicPad 4 dan Xiaomi Pad 8 Pro yang berada di pasaran.

image is not available

Vivo Pad6 Pro hadir dengan skrin 13.2″ 4K yang menyokong kadar segar semula 144Hz, ketumpatan piksel 347 PPI, paparan sehingga 1.07 bilion warna serta sokongan HDR. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 bersama Monster HyperCore Engine untuk memberikan prestasi yang lebih mantap.

Tablet ini turut dilengkapi memori sehingga 16GB RAM dan storan dalaman 512GB. Sistem pengurusan haba menggunakan teknologi VC tiga dimensi dengan bahan berlapis serta kawasan penyebaran haba seluas 71,446 mm² yang meningkatkan kecekapan sehingga 15%.

image is not available

Bateri berkapasiti 13,000mAh pula diiklankan mampu bertahan sehingga 78 hari dalam mod siap sedia, 16.8 jam main balik video luar talian, 13.1 jam penstriman, 12.6 jam penggunaan pejabat ringan, dan 9.5 jam mesyuarat dalam talian.

Tablet ini juga menjalankan OriginOS 6 dengan enjin Blue River Smooth yang menawarkan pelbagai ciri tambahan untuk meningkatkan produktiviti pengguna. Antara ciri tersedia termasuk CapCut Professional Edition untuk penyuntingan video 4K dengan sokongan stylus serta Atomic Workbench membolehkan sehingga lima aplikasi dijalankan serentak.

image is not available

Selain itu, ia menyediakan antara muka berbilang tetingkap yang menyokong pemindahan fail secara drag-and-drop dan paparan visual bagi tugas utama. Fungsi produktiviti lain turut ditawarkan seperti Atomic Notes, anotasi PDF, Boundless Paper, pengecaman tulisan tangan, pembantu bahasa Inggeris serta bantuan aksara terlupa.

image is not available

Ciri rentas peranti turut disediakan melalui vivo Share dan Office Suite yang membolehkan pemindahan fail serta perkongsian rangkaian. Ekosistem ini dilengkapi dengan aksesori tambahan seperti vivo Smart Touch Keyboard 6 Pro manakala stylus vivo Pencil3 menawarkan kependaman serendah milisaat serta tahap sensitiviti tekanan sehingga 10,000.

image is not available

Vivo Pad6 Pro dijual di China bermula dengan varian asas 8GB RAM + 256GB storan pada harga bermula RMB 4,499 (~RM2,628).