Tidak semua pengeluar peranti bijak dalam memberi nama kepada ciri, fungsi atau juga nama peranti mereka. Ada yang sangat mengelirukan, ada yang berbeza mengikut negara dan ada juga yang gimik semata-mata. Terbaru, siri vivo X200 disahkan akan dilengkapi dengan RAM serba baharu.

RAM apakah? Ia adalah LPDDR5X Ultra Pro. Ya, memori ini bukan sahaja dikatakan pantas di tahap ultra tetapi turut boleh menguruskan pelbagai tugasan dengan cara yang lebih pro. Memori ini dikatakan adalah daripada Samsung dan khusus untuk digunakan bersama cip pemprosesan MediaTek Dimensity 9400 serba baharu.
Memori ini adalah memori khas untuk cip MediaTek yang dilancarkan pada Julai lepas, dengan kelajuan DRAM terpantas dalam industri iaitu mencapai 10.7 Gbps. Memori ini turut mempunyai 25% peningkatan dari segi penggunaan kuasa dan direka untuk mesra digunakan bersama ciri AI generatif. Nama LPDDR5X Ultra Pro ini dikatakan adalah untuk tidak mengelirukan pengguna dengan memori LPDDR5X biasa yang tersedia di pasaran.

