
Didakwa ‘Live’ Piala Dunia Guna Akaun Lain, Tindakan Pempengaruh Undang Kecaman
Belum reda isu siaran langsung yang didakwa melanggar hak cipta, seorang pempengaruh media sosial sekali lagi menjadi perhatian apabila didakwa kembali membuat live perlawanan FIFA World Cup 2026 menggunakan akaun TikTok lain miliknya.
Perkara itu didedahkan menerusi satu hantaran di Threads oleh pengguna @ibtisamisyeee yang mendakwa pempengaruh berkenaan menyiarkan perlawanan antara Sepanyol dan Austria secara langsung.
Menurut pengguna itu, apa yang mencuri perhatian adalah tindakan pempengaruh terbabit yang dilihat memegang alat kawalan PlayStation 5 (PS5) seolah-olah sedang bermain permainan video.
“Ammar Nazhan live FIFA dekat akaun sini pula. Live Spain vs Austria. Boleh ke? Tangan dia pegang controller konon main PS5,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perkongsian itu kemudian tular dan mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna lain yang turut mendakwa melihat perkara sama.
Seorang lagi pengguna, @zariq_mustaqim berkata, akaun TikTok utama pempengaruh itu dipercayai digantung sebelum dia bertindak menggunakan akaun lain untuk meneruskan siaran langsung.
“Akaun TT dia kena banned, so dia live kat akaun TT yang selalu buat live trade forex.
“Aku tak faham apa yang budak ni telan… dia punya bebal tu tak boleh bawa bincang,” katanya.
Menurutnya, pempengaruh berkenaan juga mempunyai pengaruh besar dalam kalangan pelajar sekolah yang menjadi pengikut setianya di YouTube.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai @topg.my menggesa orang ramai membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Buat aduan kat MCMC. Report kat TikTok mungkin kena ban seminggu, tapi kalau MCMC masuk campur mungkin boleh jadi lebih serius,” katanya.
Sementara itu, pempengaruh yang juga seorang YouTuber itu tampil memberi penjelasan selepas menerima kritikan hebat, selain memaklumkan akses siaran langsung di akaunnya telah digantung selama tujuh hari.
Perkongsian yang sudah meraih lebih 144,000 tontonan itu nyata menarik perhatian ramai, dengan rata-rata netizen mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak serik walaupun sudah beberapa kali menerima teguran.





