
KAJANG – Atlet angkat berat Selangor, Noor Hirzie Fariez Mustafa memanfaatkan aksi di laman sendiri apabila meraih pingat emas kategori 79 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Pada aksi final yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka MPKJ hari ini, atlet berusia 20 tahun itu memastikan pingat emas menjadi miliknya selepas melakukan angkatan keseluruhan 296kg merangkumi snatch (131kg) dan clean & jerk (165kg).
Walaupun kondisi badan tidak berada pada tahap terbaik, namun Hirzie mengakui, kehadiran Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah membakar semangatnya untuk mempamerkan angkatan terbaik.
“Sebelum ini saya banyak mengalami kecederaan seperti di lutut, bahu dan beberapa tempat lain. Bagaimanapun, selagi misi ini belum habis, selagi itulah saya akan terus berusaha.
“Kecederaan yang dialami sebelum ini kebanyakannya adalah ketika sesi latihan. Kadang-kadang apabila sudah sembuh (kecederaan), sakit di tempat lain pula, jadi rasa sakit tetap ada,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat.
Dalam pada itu, pingat perak menjadi milik atlet Wilayah Persekutuan, Putra Nazrin Idham Rahmat yang melakukan angkatan keseluruhan 270kg manakala gangsa dimenangi Sharon Jastine Silas dari Sabah dengan angkatan 265kg.
Pingat emas diraih Hirzie menjadi penutup manis buatnya yang melakukan penampilan terakhir di Sukma selepas turut memenangi pingat emas pada penampilan di Sukma Sarawak dua tahun lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Hirzie dominasi kategori 79kg lelaki appeared first on Kosmo Digital.






