
Kota Kinabalu: Seorang wanita cedera ringan selepas kereta yang dipandunya merempuh ruang terbuka di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang Jumaat.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.20 petang itu sempat dirakam video sebelum tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain berkata kejadian itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 60-an.
Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit secara tidak sengaja menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaan bergerak ke hadapan dan memasuki kawasan balai pelepasan di Aras Tiga.
“Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan kejadian ini tidak membabitkan orang awam,” katanya.
Tiada kecederaan lain dilaporkan dalam kejadian itu. Shahrudin menasihatkan semua pemandu supaya lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Katanya, polis akan terus memantau perkembangan kes dan maklumat lanjut akan dimaklumkan sekiranya perlu.






