
ALOR SETAR – Seorang wanita berusia 35 tahun cedera pada bahagian leher selepas dipercayai ditikam oleh kenalan lelakinya dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.19 malam itu, suspek yang merupakan ejen hartanah berusia 32 tahun dipercayai menyerang mangsa ketika mereka berada di dalam sebuah kereta jenis Mazda di kawasan parkir restoran berkenaan.
Difahamkan, mangsa berada di tempat duduk pemandu manakala suspek duduk di bahagian penumpang hadapan sebelum berlaku insiden tikam tersebut.
Kejadian itu turut mengejutkan orang ramai yang sedang menjamu selera di restoran berhampiran.
Polis Giat Kesan Suspek
Memetik laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan meminta lelaki itu menyerah diri kepada pihak polis.
“Kita juga menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai suspek dan kejadian ini agar menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Menurut beliau, suspek dan mangsa berusia 35 tahun saling mengenali kerana mereka masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.
“Sejauh mana hubungan mereka kita belum dapat pastikan, namun mereka saling mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.
Katanya lagi, kejadian tikam itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
Mangsa Dilaporkan Stabil
“Mangsa mengalami kecederaaan pada bahagian kanan leher dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan. Setakat ini dia dilaporkan dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya masih mengesan senjata atau peralatan yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Kita juga masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” tambahnya. – The Malaysian Update
The post Wanita Cedera Leher Dipercayai Ditikam Kenalan Lelaki Dalam Kereta appeared first on The Malaysian Update.
