
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 60 tahun didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencederakan menantunya.
Foo Ming Chu membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan mencederakan Marcel Chiu En Sui, 37, kira-kira jam 7 malam, 16 Jun tahun ini di sebuah rumah di Taman Prestige Residences, Manggatal.
Mahkamah diberitahu bahawa mangsa membuat laporan polis mendakwa dirinya dicederakan oleh seorang wanita yang juga ibu mentuanya.
Pada hari kejadian mangsa dipanggil oleh isterinya ke rumah keluarga wanita itu di Manggatal untuk berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka.
Ketika perbincangan berlangsung Foo mencelah dan menuntut RM5,000 sebagai bayaran perceraian sekiranya pasangan itu bertengkar lagi.
Anak lelaki mereka yang berusia empat tahun kemudian menghampiri dan memeluk mangsa menyebabkan Foo marah sebelum tercetus pertengkaran antara mereka.
Dalam kejadian itu Foo berulang kali memukul lengan, badan, kaki dan perut mangsa. Dia turut menolak mangsa ke arah sebuah kabinet sebelum menampar mukanya.
Akibat kejadian itu mangsa mengalami kesakitan di seluruh badan serta serangan asma.
Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Dzulfamie Amrin mengendalikan pendakwaan manakala Foo diwakili peguam.
Foo sebelum ini pernah hadir di mahkamah berhubung pertuduhan sama dan mengaku tidak bersalah.
Mahkamah kemudian menetapkan kes untuk pengurusan kes praperbicaraan dan membebaskannya dengan ikat jamin RM1,300 berserta dua orang penjamin tempatan.






