
Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun didenda RM600 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah Majistret pada Khamis atas dua kesalahan lalu lintas.
Muhamad Hafiz Hafizi Azmi mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Dia melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.10 pagi, 15 Ogos tahun ini ketika menunggang motosikal di Aeropod.
Bagi pertuduhan pertama iaitu menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Hafiz didenda RM300 atau penjara lima hari.
Kesalahan itu memperuntukkan denda antara RM300 hingga RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kenderaan motor tanpa perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1) akta sama, Hafiz didenda RM300 lagi atau penjara lima hari.
Kesalahan itu membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut melarang Hafiz daripada memohon lesen memandu selama 12 bulan.
Hafiz yang tidak diwakili peguam memohon hukuman lebih ringan dengan alasan perlu menyara ibunya.
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Trafik Irianshah Bakar memohon hukuman berbentuk pencegahan dengan menyatakan bahawa kesalahan itu bukan yang pertama dilakukan Hafiz.






