
KAJANG – Seorang wanita maut selepas kepalanya terkena tiang besi yang tumbang ketika cuba menghalang kereta di sebuah medan selera di Bandar Mahkota Cheras, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu, mangsa yang berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seorang lelaki berusia 35 tahun dipercayai tertekan pedal minyak sebelum kenderaan terbabas masuk ke dalam medan selera.
“Kereta itu kemudiannya berpusing menghala keluar. Pada masa sama, mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan tersebut bagi menghalang atau menghentikannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kenderaan itu kemudian melanggar tiang besi menyebabkan objek tersebut tumbang dan mengenai kepala mangsa.
Mangsa disahkan maut di lokasi oleh petugas kesihatan yang tiba untuk memberikan bantuan.
Pemandu kereta pula mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital. Pemandu tersebut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat keadaan pemandu ketika kejadian termasuk menentukan sama ada berada di bawah pengaruh alkohol atau bahan terlarang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-4565502 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita cuba halang kereta maut dihempap tiang appeared first on Kosmo Digital.





