
KAJANG - Seorang wanita berusia 47 tahun maut selepas kepalanya ditimpa tiang besi yang tumbang akibat dilanggar sebuah kereta, setelah kenderaan itu merempuh kawasan medan selera di Bandar Mahkota Cheras, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 pagi dan membabitkan sebuah kereta serta mangsa yang merupakan pejalan kaki.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 35 tahun dipercayai telah menekan pedal minyak, menyebabkan kenderaan itu memasuki kawasan tempat makan sebelum berpatah balik menuju ke pintu keluar.
“Pada masa sama, mangsa dipercayai berlari ke arah kenderaan berkenaan dalam usaha menghalang atau memberhentikannya.
“Bagaimanapun, kereta itu merempuh sebatang tiang besi menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan menimpa kepala mangsa,” katanya hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah di kepala.
Pemandu kereta turut mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan serta menjalani pengambilan sampel bagi membantu siasatan.
Naazron berkata, pemandu berkenaan telah ditahan dan pemeriksaan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek masih menerima rawatan di hospital,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun, denda maksimum RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502 bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Naazron menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, memandu secara bertanggungjawab serta mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama. - Getaran, 22 Ogos 2026






