
TAWAU: Seorang wanita muda berperwatakan lelaki (tomboy) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas tuduhan membuang bayi yang baru dilahirkannya sehingga menyebabkan kematian di Hospital Tawau, bulan lepas.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada wanita warga tempatan berusia 24 tahun itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mazidah Minggo didakwa dengan sengaja meninggalkan anak yang baru dilahirkannya sehingga menyebabkan kematian bayi tersebut.
Tertuduh melakukan kesalahan itu di tandas awam perempuan, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau antara 5.20 petang 13 Oktober dan jam 7.10 pagi 14 Oktober.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes, sementara menunggu laporan kimia.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh dan wanita itu terus ditahan di Penjara Tawau sehingga sebutan semula kes.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohd Suhaimi Suriana tampil mendakwa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


