Wanita lahirkan kembar berlainan ibu bapa 

Family & Parenting
28 Aug 2026 • 2:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita lahirkan kembar berlainan ibu bapa 

BRISBANE: Seorang wanita di Queensland melahirkan pasangan kembar yang mempunyai ibu bapa biologi berbeza, dalam kes pertama seumpamanya dan belum pernah dipertimbangkan dalam undang-undang ibu tumpang negeri itu.

Wanita berkenaan, yang identitinya dirahsiakan dalam penghakiman mahkamah, mengalami kehamilan semula jadi tidak dirancang pada waktu hampir sama ketika menerima pemindahan embrio melalui persenyawaan in vitro (IVF) sebagai sebahagian daripada aturan ibu tumpang dengan pasangan lain tahun lalu.

Kedua-dua bayi lelaki dan perempuan itu dilahirkan pada hari yang sama pada November 2025 menerusi pembedahan caesarean. Tiada pertikaian berhubung status ibu bapa kedua-dua kanak-kanak itu dan mereka dibesarkan secara berasingan oleh ibu bapa biologi masing-masing sejak 10 bulan lalu.

Namun, situasi luar biasa itu memerlukan prosiding rumit di Mahkamah Kanak-Kanak Queensland kerana undang-undang ibu tumpang negeri berkenaan menetapkan larangan terhadap situasi di mana saudara kandung yang dilahirkan melalui kehamilan ibu tumpang dipisahkan.

Mahkamah akhirnya memutuskan walaupun kedua-dua kanak-kanak itu merupakan ‘kembar gestasi’, mereka bukan saudara kandung yang dilahirkan daripada kehamilan ibu tumpang mengikut tafsiran undang-undang tersebut dan mengeluarkan perintah bagi mengesahkan status ibu bapa biologi masing-masing.

“Kira-kira dua minggu kemudian, pemeriksaan ultrabunyi mendapati wanita itu mengandungkan dua janin. Ujian susulan menunjukkan seorang bayi perempuan merupakan anak biologi daripada pemindahan embrio proses IVF, manakala seorang lagi bayi lelaki ialah anak biologi wanita itu melalui kehamilan normal.

“Bayi lelaki itu dikandung secara berasingan daripada proses implantasi embrio dan tanpa bantuan perubatan”, menurut penghakiman berkenaan.

Awal tahun ini, kedua-dua pihak melantik seorang kaunselor bebas untuk menyediakan laporan prosiding mahkamah yang diperlukan bagi mengesahkan ibu bapa kepada bayi perempuan berkenaan.

Laporan itu turut menekankan kepentingan kedua-dua kanak-kanak dilahirkan sebagai kembar dan hubungan tersebut berkemungkinan mempunyai kepentingan emosi serta perkembangan yang berterusan terhadap kedua-duanya, walaupun mereka dibesarkan dalam dua keluarga berasingan.

The post Wanita lahirkan kembar berlainan ibu bapa  appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved