BERA – Seorang wanita lebam di leher selepas rantai yang dipakainya diragut seorang lelaki bermotosikal ketika membeli makanan di tepi Jalan Pasar, Triang di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa baru selesai membeli makanan di sebuah gerai tepi jalan sebelum suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna gelap bertindak meragut rantai lehernya.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, suspek kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian leher dan mendapatkan rawatan di Hospital Bera," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Zulkiflee meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya ketika berada di kawasan tumpuan awam.
"Masyarakat diingatkan supaya mengelakkan daripada memakai atau mempamerkan barang kemas dan barangan berharga secara berlebihan bagi mengelakkan diri daripada menjadi sasaran penjenayah," ujarnya.





![[VIDEO] Rantai leher emas diragut ketika beli barang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-25-at-7.36.06-PM-e1792930995723-1024x883.jpeg)