
KAMPAR – Seorang wanita berumur 42 tahun yang disyaki menikam ibu kandungnya di bahagian dada kiri menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Wang, Menglembu, Ipoh dekat sini pada pukul 7 malam semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, suspek mempunyai rekod psikiatri selain baru mengambil ibunya itu daripada sebuah pusat jagaan orang tua di Pusing, Batu Gajah.
“Kes ini kita dah buat tangkapan. Sebenarnya, ibu dia ini baru saja diambil daripada pusat jagaan orang tua di Pusing. Kemudian dijaga oleh anak dia dan menantu.
“Sebenarnya, anak (suspek) ada rekod psikiatri. Mungkin disebabkan itu, dengan kerenah jagaan orang tua ni, dia pun tikam mak dia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar hari ini.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan laporan hospital mengenai status mental suspek.
“Mak dia (mangsa) berumur sekitar 70-an. Memang terlantar, perlu penjagaan yang rapi. Pisau itu kita dapat rampas yang suspek gunakan. Tikaman di bahagian dada sebelah kiri, sekali tikaman,” katanya.
Jelasnya, laporan polis dibuat oleh menantu lelakinya yang merupakan suami suspek. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita maut ditikam anak dengan pisau appeared first on Kosmo Online.





