
KOTA BELUD: Seorang wanita tempatan berusia 42 tahun maut selepas kereta Perodua Alza dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kota Belud–Tuaran, berhampiran Taman Nikmat, di sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Khairul Shah Peri berkata kemalangan berlaku kira-kira 11.05 pagi ketika lori dipandu lelaki tempatan berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Kota Belud menuju Tuaran, manakala Perodua Alza dipandu mangsa dari arah Tuaran ke Kota Belud.
“Siasatan awal mendapati kereta mangsa memasuki laluan lori sebelum melanggar bahagian tepi kanan lori berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta berpusing dan menghadap ke arah Tuaran,” katanya dalam kenyataan Selasa.
Menurutnya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang penumpang yang turut berada di dalam kereta berkenaan dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

.jpg)




