Wanita Mengaku Salah Jual Bayi, Letak Harga RM17,300 

1 Sep 2026 • 7:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Wanita Mengaku Salah Jual Bayi, Letak Harga RM17,300 

ALOR SETAR - Seorang wanita berusia 24 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyerahkan kawalan seorang bayi lelaki kepada pihak lain selepas menerima bayaran RM17,300.

Pengakuan itu dibuat S. Kelsey selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan menjatuhkan hukuman.

Kelsey didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah hospital swasta di sini, dalam tempoh antara jam 7.30 pagi, 18 Ogos hingga 1.30 pagi, 21 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000, penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 selain meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan Kelsey dilarang berhubung dengan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam RSN Rayer yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan lebih rendah.

Menurutnya, anak guamnya tidak mempunyai pendapatan dan masih perlu menanggung keluarganya.

Rayer turut memaklumkan, Kelsey masih dalam keadaan lemah selepas melahirkan anak pada 18 Ogos lalu, selain menegaskan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Kelsey diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Nabisha turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta tidak menghubungi mana-mana saksi pendakwaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kelsey turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret Sungai Petani kerana memiliki kad pengenalan milik wanita lain.

Dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang didakwa berlaku di hospital sama pada 21 Ogos lalu.

Bagi kes berkenaan, Kelsey didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau I’m denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Mohd Noor, manakala Rayer mewakili Kelsey.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi membenarkan Kelsey dibebaskan dengan jaminan RM1,500 bersama seorang penjamin dan menetapkan 5 Oktober depan untuk hukuman.

Kes berkenaan terbongkar selepas polis menahan enam individu tempatan, termasuk seorang wanita yang baru melahirkan anak, Rabu lalu bagi membantu siasatan kes disyaki membabitkan penjualan bayi lelaki di Kuala Muda.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di sebuah hospital bersalin swasta di daerah itu selepas kakitangan mendapati seorang pesakit tempatan menggunakan dokumen pengenalan milik wanita lain ketika mendaftarkan kelahiran bayi lelaki pada hari sama.

Siasatan polis berhubung kes berkenaan masih diteruskan. - Getaran, 1 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved