
KOTA BHARU – Seorang buruh yang bekerja di ladang kelapa sawit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul bapanya sehingga cedera menggunakan buah cempedak di sebuah rumah di Kampung Sungai Johar dekat Kuala Krai pada bulan lalu.
Tertuduh, Muhamad Zarid Danial Rahim, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas bapa kandung, Rahim Mamat, 58, dengan menggunakan buah cempedak.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Johor, Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 13 Ogos 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE
The post Buruh didakwa pukul bapa sampai cedera dengan cempedak appeared first on Kosmo Digital.






