Wanita Menyamar Jadi Tetamu & Curi Duit Di Kenduri Dipenjara 2 Tahun, Pengsan Selepas Mengaku Bersalah

25 Feb 2025 • 5:29 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Pasti ramai yang masih ingat pada 2 Februari lalu, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian curi di sebuah majlis kesyukuran di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan.

Menerusi rakaman video yang tular, kelihatan seorang wanita berbaju kurung mengambil beg tangan berwarna putih mengandungi wang tunai bernilai RM2,500 yang diletakkan di atas sebuah almari.

Dia kemudiannya dilihat membawa lari beg tangan berkenaan tanpa disedari oleh individu yang turut berada di situ.

Walau bagaimanapun, wanita berusia 61 tahun itu kemudiannya ditahan polis pada 16 Februari lalu kira-kira jam 5.04 petang di hadapan sebuah masjid yang terletak di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu.

Wanita Pengsan Selepas Mengaku Bersalah Di Mahkamah

Terbaharu, wanita yang tular mencuri duit di majlis kesyukuran itu pengsan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Pasir Mas hari ini (25 Februari).

Tertuduh, Tuan Maimun Che Tuan mengaku bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan yang berisi wang bernilai RM2,500.

Prosiding pendakwaan ditangguh selama 10 minit kerana tertuduh hampir rebah ketika membuat pengakuan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas anggota polis mengemukakan bukti kes.

Insiden tersebut menyebabkan mahkamah memberi ruang kepada warga emas berkenaan untuk bertenang.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri dalam bangunan iaitu wang bernilai RM2,500 milik Norhayati Mohd. Noor di sebuah rumah yang terletak di Kampung Tasek Berangan pada 1 Februari lalu jam 12.42 tengahari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan bagi kesalahan kedua, penjara dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohon Hukuman Setimpal

Tertuduh diwakili oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Amira Mat dan pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimi.

Sebelum itu, Syazalia memohon agar tertuduh dijatuhi hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam dan kerugian yang ditanggung oleh mangsa sebanyak RM2,500.

“Tertuduh juga mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes sama. Tertuduh juga mengaku bersalah atas kesalahannya sekali gus menunjukkan bahawa dia tidak insaf atas perbuatannya.

“Justeru, pihak pendakwaan memohon hukuman yang setimpal termasuk denda dikenakan kepada tertuduh,” katanya.

Peguam Bela Mohon Hukuman Diringankan

Walau bagaimanapun, Nur Amira dalam rayuannya memberitahu tertuduh yang merupakan ibu kepada enam orang anak tinggal seorang diri dan mempunyai penyakit darah tinggi dan kolestrol.

Malah, tertuduh juga masih menerima rawatan selepas menjalani pembedahan usus.

“Pengakuan bersalah tertuduh sudah banyak menjimatkan masa mahkamah. Justeru, tertuduh memohon hukuman penjara dan denda paling minimum bagi kesalahan tersebut,” ujarnya.

Tertuduh Dijatuhi Hukuman Penjara 24 Tahun & Denda RM3,000

Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara 24 tahun kepada tertuduh bermula dari tarikh sabitan dan denda RM3,000.

Sekiranya dia gagal membuat bayaran denda tersebut, tambahan hukuman penjara selama enam bulan akan dikenakan.

Berdasarkan fakta kes, Norhayati telah pergi ke rumah ibunya yang terletak di Kampung Tasek Berangan bagi menghadiri kenduri perkahwinan anak saudara sebelum meletakkan beg tangan di atas almari pada bahagian dapur rumah berkenaan.

Mangsa kemudiannya mendapati beg tangan yang mempunyai wang tunai berjumlah RM2,500 hilang ketika mahu pulang.

Hasil pemeriksaan CCTV mendapati tertuduh mengambil wang tunai tersebut dan meninggalkan beg tangan mangsa di atas almari pinggan mangkuk berhampiran tandas bahagian dapur rumah berkenaan.

Source: