
KUALA LANGAT – Tiga wanita antara lima individu yang direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia sehingga melecur di seluruh badan.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 20 hingga 30-an bermula hari ini hingga Jumaat dikeluarkan Majistret Maslinda Selamat di Mahkamah Telok Datok di sini.
Kes penderaan itu dilaporkan berlaku pada 16 Oktober lalu sebelum membawa kepada penahanan beberapa individu bagi membantu siasatan.
Kosmo! semalam melaporkan polis menahan enam individu termasuk seorang majikan bagi membantu siasatan kes penderaan seorang wanita warga Indonesia hingga mangsa mengalami kecederaan melecur pada seluruh badan di Tanjong Sepat di sini.
Kesemua suspek ditahan di sebuah premis perniagaan di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, Butterworth di sini, kira-kira pukul 6.30 petang.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan bantuan JSJ, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670). – KOSMO! ONLINE
The post Lima direman kes dera amah melecur appeared first on Kosmo Online.






