Wanita trauma, lelaki hulur ular dalam kereta

24 Jun 2026 • 1:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita trauma, lelaki hulur ular dalam kereta
Video kejadian tular di media sosial.

MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa menghulurkan seekor ular ke dalam sebuah kereta sehingga menyebabkan seorang wanita trauma dan didakwa hampir menyebabkan kemalangan di kawasan Bangunan Stadthuys Banda Hilir Isnin lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti individu terbabit.

Menurutnya, MBMB tidak pernah meluluskan permit atau lesen kepada mana-mana seniman jalanan yang membawa haiwan kerana faktor keselamatan serta kebersihan.

“Kita sedang mengesan individu terbabit dan jika dikenal pasti, tindakan kompaun akan dikenakan. Kita juga sedang menyiasat sama ada dia merupakan individu yang pernah mengemukakan permohonan lesen kepada MBMB sebelum ini,” katanya.

Shadan berkata, MBMB sememangnya tidak membenarkan aktiviti seniman jalanan yang melibatkan haiwan walaupun haiwan tersebut tidak berbisa atau tidak berbahaya.

Ujarnya, dalam usaha merancakkan sektor pelancongan negeri, seniman jalanan perlu memastikan keselamatan diri serta orang ramai selain mendapatkan permit sah daripada MBMB.

Terdahulu, seorang pembantu jualan, Nik Hanis Allysa Abdullah, 21, mendakwa berdepan detik cemas selepas lelaki itu menghampiri keretanya sebelum menghulurkan reptilia itu ke bahagian dalam kenderaan melalui tingkap hadapan yang terbuka.

Kejadian berlaku sekitar jam 11 malam ketika dia bersama seorang rakan dan adiknya berhenti di hadapan Bangunan Stadthuys selepas pulang dari bekerja.

“Saya sudah beberapa kali meminta lelaki itu supaya tidak memasukkan ular ke dalam kereta, namun dia tetap menolaknya ke arah saya sehingga menyebabkan saya menangis.

“Akibat panik, saya membuka pintu kereta dan mengangkat sebelah kaki untuk mengelak daripada ular itu, namun terlupa menukar gear kenderaan yang masih berada dalam mod pemanduan.

“Ketika itu kereta bergerak ke hadapan ketika sebelah kaki saya berada di luar. Mujur tiada perkara lebih buruk berlaku,” katanya.

Beliau berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit kerana perbuatannya bukan sahaja menakutkan orang awam malah berpotensi mengundang kemalangan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tular tersebut setakat ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved