KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga China ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes pemerasan membabitkan ugutan menyebarkan gambar intim dan pemerasan wang di Cheras di sini pada Jun lalu.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas pengadu menerima maklumat daripada pekerjanya berhubung mesej ugutan yang dihantar suspek.
Menurutnya, pengadu yang ketika itu berada di China dimaklumkan mengenai tindakan suspek yang didakwa mengugut untuk menyebarkan gambar intim membabitkan individu berkaitan sekiranya permintaan wang tidak dipenuhi.
“Siasatan mendapati pengadu tidak menyerahkan sebarang wang kepada suspek dan laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
“Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.
Menurut, sebuah telefon bimbit turut dirampas yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berkaitan kejadian itu kira-kira jam 4.45 petang, 8 Julai lalu.
Beliau berkata, seorang perempuan warga China yang disyaki terlibat dalam kes pemerasan wang sudah ditahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ketakutan bencana dengan tujuan hendak melakukan pemerasan.
“Suspek telah ditahan reman bermula 23 sehingga 28 Julai lalu dan kertas siasatan kini sedang dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya.





