Wanita warga India ditemukan lemas di Pulau Tioman

12 Sep 2026 • 7:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Wanita warga India ditemukan lemas di Pulau Tioman
Mangsa dibawa ke darat menggunakan bot sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek dan disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

ROMPIN - Wanita warga India ditemukan lemas selepas tergelincir jatuh ke laut ketika cuba naik ke atas bot selepas selesai menjalankan aktiviti selaman percubaan bersama keluarga di kawasan Pulau Renggis, perairan Tioman di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Sabiya Shiek, 65, ditemui tidak sedarkan diri terdampar di dasar berpasir tidak jauh dari kawasan selaman selepas 15 minit pencarian dijalankan.

Menurutnya, wanita warga emas berasal dari Tamil Nadu itu dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas.

Mengulas lanjut, Sharrif Shai berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarga dari Singapura berkunjung ke pulau peranginan itu sejak Jumaat untuk aktiviti 'discovery dive' dan menginap di Berjaya Resort Tioman hingga Isnin ini.

"Kira-kira jam 9.50 pagi pada Sabtu, wanita itu keluar untuk aktiviti menyelam bersama enam ahli keluarga diiringi dua jurulatih dan seorang penyelam utama ke kawasan pesisir pantai berdekatan sebelum meneruskan aktiviti itu ke perairan Renggis.

"Selepas menyelam selama kira-kira 15 minit, mangsa naik semula ke permukaan dan memberitahu jurulatihnya untuk balik ke bot," katanya.

Sharif Shai berkata, semasa naik ke atas bot, anaknya membantu menanggalkan peralatan selaman.

"Ketika memanjat tangga sambil memegang tangan anak perempuannya yang berada di dalam bot, mangsa dipercayai tergelincir dan jatuh semula ke laut dan tenggelam," katanya.

Jelas beliau, setelah jurulatih timbul beberapa minit kemudian, pemandu bot telah memberitahu berkenaan kejadian sebelum selaman mencari mangsa digerakkan sehingga wanita itu ditemui.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved