
TOKYO – Dua wanita warga Amerika Syarikat (AS) ditahan selepas cuba menyeludup ganja bernilai AS$1 juta (RM4 juta) di Jepun, dengan salah seorang suspek mendakwa tertarik dengan tawaran perjalanan percuma ke negara itu, lapor laman berita South China Morning Post.
Kedua-dua suspek berusia 25 tahun itu tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo dari negeri New York pada Sabtu lepas dengan membawa dua beg pakaian yang ‘menyembunyikan tumbuhan kering menyerupai ganja’, demikian menurut polis tempatan.
Jepun mempunyai antara undang-undang dadah terketat di dunia, dengan penyeludupan serta pemilikan narkotik secara haram boleh membawa kepada hukuman penjara
Ganja tersebut memiliki berat 30 kilogram dan dianggarkan bernilai sekitar 150 juta yen (RM3.9 juta), lapor media.
Salah seorang wanita memberitahu polis bahawa dia mengambil ‘pekerjaan’ itu demi wang, selain ‘tertarik dengan tawaran pelancongan percuma ke Jepun’, lapor stesen penyiaran Nippon Televisyen.
Seorang lagi suspek menafikan tuduhan tersebut dan mendakwa dirinya tidak menyedari kewujudan ganja di dalam beg pakaian mereka, lapor akhbar Tokyo Shimbun memetik sumber polis yang tidak dinamakan.
“Mereka berkomplot dengan individu lain yang tidak diketahui namanya. Pasangan itu ditahan atas syak wasangka melanggar undang-undang kawalan dadah dan psikotropik, atau menyeludup untuk mendapatkan keuntungan,” kata jurucakap itu.
Penyeludupan ganja bagi tujuan memperoleh keuntungan boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sebanyak 3 juta yen (RM79,519). – AGENSI
The post Dua wanita ditahan seludup ganja 30 kilogram appeared first on Kosmo Online.






