‘Tiga kenderaan pemilik sama, semuanya digunakan warga asing’

LocalCars
29 Jul 2026 • 4:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Tiga kenderaan pemilik sama, semuanya digunakan warga asing’

SELAYANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyiasat pemilik tempatan yang menjadikan penyewaan kenderaan kepada warga asing sebagai sumber pendapatan.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, perkara itu dikenal pasti selepas sebahagian kenderaan yang ditahan menerusi Ops Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) didapati milik rakyat tempatan tetapi digunakan warga asing.

Menurutnya, kenderaan berkenaan dipercayai disewa untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menjual roti, buah-buahan serta mengutip besi buruk di kawasan perumahan.

“Kadar sewaan tidak tetap kerana bergantung kepada rundingan dengan pemilik. Ada yang menyewa sehingga RM100 sehari.

“Setakat ini kita lihat ramai pemilik tempatan yang berbeza-beza, tetapi kemungkinan kegiatan (sindiket) itu berlaku memang ada. Kita juga ada menahan tiga buah kenderaan yang dimiliki oleh warga tempatan sama,” katanya dalam sidang akhbar selepas Ops Pewa di sekitar Selayang, hari ini.

Tegas Ahmad Kamarunzaman, tindakan bukan sahaja dikenakan terhadap pemandu atau penunggang warga asing, malah pemilik kenderaan turut boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati membenarkan kenderaan digunakan secara menyalahi undang-undang.

“Pemilik dan penunggang akan dikenakan tindakan. Pemilik tidak boleh melepaskan tanggungjawab hanya kerana kenderaan itu digunakan orang lain,” katanya.

Dalam Ops Pewa yang bermula pukul 6.30 pagi tadi, sebanyak 126 kenderaan diperiksa dengan 34 daripadanya diambil tindakan dan disita.

Kenderaan disita melibatkan 11 motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam motokar dan lima kenderaan barangan.

Sebanyak 256 kesalahan dikesan, antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan motor tamat tempoh, salah guna lesen kenderaan motor dan kesalahan teknikal.

JPJ turut mengeluarkan keseluruhan 420 notis dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Selayang yang disertai 55 pegawai serta anggota JPJ dan 25 anggota pihak berkuasa tempatan itu.

“Sebarang bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya tidak akan diberikan sebarang kelonggaran atau layanan istimewa, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak termasuk pemilik kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Tindakan penguatkuasaan termasuk sitaan kenderaan, pengeluaran notis dan pendakwaan akan terus dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh,” ujarnya.

Semua kenderaan disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sehingga proses pendakwaan di mahkamah selesai tanpa tawaran kompaun.- KOSMO! ONLINE

The post ‘Tiga kenderaan pemilik sama, semuanya digunakan warga asing’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved