
SEMPORNA: Seorang warga asing yang menceroboh bilik seorang pelancong wanita dari China di sebuah resort di Semporna dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada 7 Okt.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Tan Hiap Wah berkata Amir Kahal melakukan kesalahan itu dengan memasuki bilik 207 di resort berkenaan di Jalan Kemiri pada 3 pagi, 19 Sept lepas.
Beliau berkata lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Bagaimanapun, beliau berkata siasatan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan masih dijalankan sementara menunggu laporan analisis kimia disiapkan.
“Selepas laporan itu diperoleh, polis akan mendapatkan arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya berhubung pertuduhan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.
Tan berkata tertuduh juga dijadualkan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pada 5 Nov atas kesalahan memasuki atau berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, termasuk majikan yang menggaji pendatang tanpa izin atau pekerja asing tanpa permit yang sah.
Tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pemilik, penyewa, penghuni atau individu yang bertanggungjawab mengurus dan mengawal premis sekiranya mereka membenarkan warga asing tanpa dokumen sah tinggal atau berada di premis berkenaan, katanya.
Tan menggesa orang ramai, khususnya majikan dan pemilik hartanah, supaya mematuhi undang-undang serta tidak melindungi atau membenarkan pendatang tanpa izin tinggal secara haram di premis mereka.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan jenayah atau kehadiran pendatang tanpa izin supaya melaporkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.






