
LONDON – Seorang lelaki maut akibat dibaham seekor harimau selepas memasuki kandang haiwan itu di sebuah taman hidupan liar di Britain, lapor akhbar New York Post.
Lelaki yang tidak dikenali identitinya itu memasuki kandang harimau di Yorkshire Wildlife Park berhampiran bandar Doncaster di utara England semalam.
Rakaman video kejadian menunjukkan seekor harimau Siberia menggigit dan mencakar belakang badan mangsa semasa dia cuba menghentikan serangan tersebut.
“Jangan! Jangan! Jangan!” kata mangsa sambil mengangkat jari telunjuknya, seolah-olah dia cuba menegur harimau terbabit.
Polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan sekitar pukul 1.35 petang (waktu tempatan).
“Harimau tersebut menyerang mangsa, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah. Pasukan kecemasan dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Walaupun pelbagai usaha dilakukan petugas perubatan, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” kata polis.
Pihak berkuasa memaklumkan harimau berkenaan kekal berada di dalam kandangnya selepas insiden itu dan tidak menimbulkan ancaman kepada orang awam.
Yorkshire Wildlife Park ditutup serta-merta berikutan insiden yang mengejutkan itu.
“Kami mengesahkan satu insiden serius berlaku hari ini (semalam) di kandang harimau menyebabkan taman ini ditutup sehingga esok,” katanya dalam satu kenyataan. – AGENSI
The post Ceroboh kandang harimau, lelaki maut dibaham ‘pak belang’ appeared first on Kosmo Online.




