
SEREMBAN – Masih ramai warga asing dikesan menunggang motosikal secara haram menerusi operasi penguatkuasaan Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah kebergantungan mereka kepada motosikal untuk menjalankan aktiviti pekerjaan, termasuk menjual aiskrim, menghantar roti dan menawarkan perkhidmatan memotong rumput.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sihdu berkata, kebanyakan individu terbabit yang berusia antara 20 hingga 40 tahun menggunakan motosikal bagi menjalankan aktiviti harian.
Menurutnya, motosikal berkenaan ada yang dibeli sendiri, disewa atau diperoleh menerusi urusan jual beli dengan masyarakat setempat.
“Nilai dan Sikamat antara kawasan tumpuan penguatkuasaan, selain lokasi lain yang dikenal pasti menerusi pemantauan JPJ,” katanya pada sidang akhbar penguatkuasaan Ops PeWA di Seremban, hari ini.
Berdasarkan rekod JPJ Negeri Sembilan, sebanyak 4,811 kenderaan diperiksa sepanjang 2025, dengan 746 kenderaan diambil tindakan dari awal tahun hingga 11 Oktober.
Bagi tempoh sama tahun ini, sebanyak 3,741 kenderaan diperiksa dan 498 kenderaan diambil tindakan.
Statistik mengikut kategori kenderaan menunjukkan motosikal kekal merekodkan jumlah kes tertinggi disita.- KOSMO! ONLINE
The post Warga asing jadikan motosikal modal cari makan appeared first on Kosmo Online.






