
TELUK INTAN – Kemalangan maut membabitkan lelaki Bangladesh di Kilometer 19, Jalan Teluk Intan-Bidor di sini semalam berlaku apabila motosikal dinaiki warga asing itu dilanggar dari belakang oleh sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak menerima maklumat berhubung kejadian tersebut daripada Pusat Kawalan Daerah pada kira-kira pukul 11.50 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah Bidor menghala ke Teluk Intan.
“Setibanya di lokasi kejadian, lori yang dipandu seorang lelaki tempatan dipercayai telah melanggar bahagian belakang motosikal yang dinaiki dua lelaki warga Bangladesh ketika ia sedang membelok ke kanan untuk memasuki simpang.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng dilaporkan telah melarikan diri dari lokasi kemalangan,” katanya di sini hari ini.
Kok Lian berkata, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati penunggang motosikal tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal berkenaan telah tamat tempoh.
“Pemandu lori telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan sampel darahnya turut diambil untuk ujian toksikologi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan, termasuk mengesan pembonceng motosikal yang telah meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd Manan di talian 05-6299056 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Warga Bangladesh maut dilanggar lori ketika membelok appeared first on Kosmo Online.






