
KUALA SELANGOR – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Kembara yang hilang kawalan di Kilometer (KM) 42.7 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Sumber berkata, kemalangan berlaku ketika Perodua Kembara dipandu seorang wanita berusia 56 tahun dari Klang menuju ke daerah ini.
“Setiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar motosikal mangsa yang berada di hadapannya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin mengesahkan kejadian itu dengan kes masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas maut motosikal dirempuh Kembara hilang kawalan appeared first on Kosmo Online.






