
KUALA KANGSAR – Seorang warga emas maut manakala seorang remaja lelaki cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka melanggar sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan selepas Kampung Senggang berhampiran Sungai Perak di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 6.58 pagi.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian
“Semasa pasukan bomba tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua buah motosikal jenis Yamaha LC dan Yamaha Lagenda yang melanggar pokok tumbang di atas jalan.
“Remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah cedera dan telah dibawa ke hospital oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dalam kejadian itu, seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga emas berusia 72 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan.
“Ketua operasi kemudian menjalankan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya sebelum kawasan kejadian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas maut, pelajar cedera langgar pokok tumbang appeared first on Kosmo Digital.






