Warga emas pengsan disengat lebah ketika mendaki bukit

13 Nov 2026 • 8:56 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Warga emas pengsan disengat lebah ketika mendaki bukit

SHAH ALAM, 13 NOV: Wanita warga emas berusia 72 tahun terpaksa diusung turun oleh pasukan bomba selepas ditemui tidak sedarkan diri akibat disengat lebah ketika mendaki Bukit Sungai Lembu, Bukit Mertajam semalam.

Mangsa ditemukan pada jam 6.40 petang menerusi operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 petang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, panggilan berkenaan memaklumkan seorang pendaki wanita disengat lebah ketika berada di kawasan hutan.

“Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Jentera tiba di lokasi pada jam 5.04 petang selepas berdepan kesesakan lalu lintas sepanjang perjalanan ke tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.

John Sagun berkata operasi SAR kemudian dilaksanakan dengan bantuan individu yang berada di sekitar bukit bagi mengesan kedudukan mangsa.

“Mangsa berjaya ditemui pada jam 6.40 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba kemudian membawa mangsa turun ke kaki bukit sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bantuan Kecemasan Bukit Mertajam (PBK Bukit Mertajam) untuk dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan PBK Bukit Mertajam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved