Warga emas rentung dalam kebakaran rumah

11 Sep 2026 • 12:56 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Warga emas rentung dalam kebakaran rumah

KOTA BHARU, 11 SEPT: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya di kawasan Pasar Gok Kapor dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, terbakar malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Mohd Ridzuan Baharudin berkata, mangsa, Kang Choo Hock, 66, ditemukan di dalam bilik air pada 9.37 malam dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 pada 8.43 malam sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira lima kilometer dari BBP Kota Bharu pada 8.52 malam.

“Berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal berukuran kira-kira 30x50 kaki, dengan anggaran 95 peratus struktur rumah musnah terbakar. Operasi berjaya dikawal pada 9.24 malam dan pasukan masih menjalankan tindakan lanjut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Ridzuan berkata, operasi pemadaman menggunakan dua aliran pam jentera dengan empat pancutan air sepanjang 300 kaki melibatkan 35 anggota daripada BBP Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Pengkalan Chepa serta aset tiga jentera FRT, sebuah lori tangki dan sebuah Proton Arena.

Sementara itu, saksi yang membuat panggilan kecemasan, On Peng Lun, 33, berkata, dia bersama saudara mangsa ketika kejadian sebelum mereka menghubungi bomba dan bergegas ke lokasi.

Katanya, mangsa dipercayai berseorangan ketika kejadian dan mungkin tidak sempat menyelamatkan diri selepas api marak dengan cepat.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved