Warga emas rugi RM23,000 akibat barangan kemas disamun

2 Oct 2026 • 6:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas rugi RM23,000 akibat barangan kemas disamun
Barangan yang dirampas bagi membantu siasatan lanjut.

GURUN - Seorang warga emas mengalami kerugian mencecah RM23,000 apabila rantai leher dan gelang tangan miliknya disamun lelaki tidak dikenali ketika berada di rumah seorang diri di Taman Seri Jerai 2 di sini pada Khamis.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan telah memecah masuk rumah mangsa setelah intipan dilakukan selama kira-kira dua minggu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pada jam lebih kurang 9.20 pagi, pengadu berusia 67 tahun didatangi suspek lelaki yang memasuki rumahnya tanpa kebenaran.

Menurutnya, suspek kemudian menakut-nakutkan pengadu dengan menunjukkan objek menyerupai pistol seterusnya menarik seutas rantai emas yang dipakai pada leher dan dua utas gelang emas dipakai pada pergelangan tangan kanan dan kiri pengadu.

"Selepas melakukan perbuatan tersebut, suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna merah jenis tidak diketahui.

"Akibat kejadian tersebut, pengadu mengalami lebam pada pergelangan tangan kiri dan kanan. Pengadu kemudiannya hadir ke Balai Polis Gurun untuk membuat laporan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Menurut Hanyan, rumah terbabit diduduki bersama pasangan namun, ketika kejadian berlaku, suami pengadu tiada di rumah.

Jelasnya, susulan laporan dibuat, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun pada jam 11.15 malam Khamis di sebuah rumah di Taman Permai Utama di sini.

Bagaimanapun, katanya, hasil soal siasat mendapati, suspek mengaku melakukan perbuatan itu seorang diri.

"Hasil siasatan membongkar intipan dilakukan suspek terhadap rumah pengadu selama lebih kurang dua minggu sebelum kejadian.

"Pada hari kejadian, suspek telah melihat suami pengadu keluar dari rumah tersebut sebelum bertindak sedemikian," katanya.

Semakan mendapati, suspek tiada rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved